KUALA LUMPUR - Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin dilakukan terhadap sistem pendidikan negara perlu dibincang secara menyeluruh sebelum dilaksanakan dan perlu memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan serta apa yang digariskan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sehubungan itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak berkata, penglibatan kesatuan dan badan bukan kerajaan berkaitan sektor pendidikan perlu ditingkatkan dalam setiap perbincangan bagi memastikan semua isu berkaitan bidang itu dapat diselesaikan.

"(Jika falsafah dan dasar tidak menjadi panduan) ini yang menyebabkan guru tertekan, murid dibelenggu dilema dan keliru nak ikut yang mana satu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, cadangan daripada masyarakat juga perlu dipertimbangkan untuk memperbaiki sebarang kelemahan dalam sektor pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata, perkara asas dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak perlu diubah mana-mana menteri pendidikan ketika menerajui kementerian itu. - Bernama